Archive for the ‘Sembang-Sembang pasal bola sepak’ Category

Assalamualaikum wbt

Akhirnya, selepas berlangsungnya perlawanan final Piala Malaysia 2015 semalam, maka aksi itu sekali gus menutup tirai perlawanan domestik bola sepak Malaysia. Pasukan Selangor berjaya melunaskan misi 33 manakala pasukan Kedah hampa tidak dapat meraih kejuaraan “double” musim ini.

Apa pun, syabas dan tahniah diucapkan kepada kedua-dua pasukan. Selangor seperti kata coach Mehmet bukanlah satu pasukan yang penuh dengan “super star”, bukanlah pasukan yang mampu memancing pemain ternama seperti zaman emasnya dahulu, namun beraksi baik sebagai satu pasukan. Mereka bukanlah pasukan favorite untuk mara sejauh ini namun atas reputasi mereka di dalam Piala Malaysia, mereka selalu dianggap pasukan pilihan.

Tahniah juga kepada pasukan Kedah kerana setidaknya berjaya menebus kekecewaan tumpas di peringkat separuh akhir Piala Malaysia tahun lepas dengan mara ke final. Satu pasukan yang dianggap antara “the best away teams in Malaysia”, pasukan ini akan sentiasa diingati sebagai pasukan yang sentiasa membawa masuk bakat muda kedalam pasukan utama tanpa rasa gentar, dimana langkah ini semakin kurang dibuat oleh pasukan-pasukan di Liga Malaysia.

Diharapkan selepas ini perancangan yang rapi mampu dilaksanakan oleh kedua-dua pasukan untuk musim akan datang. Kembalinya Kedah dalam Liga Super ini pastinya memberi lebih keceriaan di dalam aksi mereka, apatah lagi mereka setakat ini juga dikenali sebagai pasukan yang sentiasa menjaringkan gol.

Manakala bagi pasukan Selangor, diharapkan skuad yang ada dimantapkan lagi kerana sudah beberapa kali perancangan Mehmet terganggu akibat pemergian pemain bintang seperti Farizal Marlias, Kunanlan dan Paulo Rangel. Pastinya peminat skuad Merah Kuning inginkan pemain seperti Andik Vermansyah kekal selain penambahan beberapa orang pemain lain bagi menguatkan lagi pasukan ini.

Apa pun, syabas dan tahniah diucapkan pada pasukan Kedah kerana berjaya mara ke final Piala Malaysia dan syabas dan tahniah kepada pasukan Selangor kerana berjaya mengharungi pelbagai liku dan cabaran sebelum meraih kejuaraan Piala Malaysia 2015.

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Pada esok malam, jam 8.45 malam, di Stadium Shah Alam, akan berlangsung perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak Malaysia, khususnya peminat setia Helang Merah & Gergasi Merah Kuning, final Piala Malaysia. Satu aksi yang sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat dan penyokong bola sepak Malaysia.

Semangat yang bakal dibawakan oleh kedua-dua penyokong pasukan ini akan sentiasa dinanti-nantikan. Apatah lagi kedua-dua pasukan ini adalah asalnya bukanlah satu pasukan pilihan untuk mara ke final, namun berjaya mengenepikan lawan masing-masing iaitu Felda United dan juara bertahan Pahang.

Kekuatan dan kelemahan pasukan pastinya wujud di dalam kedua-dua pasukan, dimana akan dihuraikan pada post selepas ini. Namun pertembungan kedua-dua pasukan ini menarik perhatian peminat apatah lagi kali terakhir kedua-dua pasukan ini mara ke final Piala Malaysia adalah pada tahun 2008 sebelum mula didominasi oleh pasukan pantai timur pada edisi-edisi sebelum ini.

Pastinya kedua-dua pasukan ini amat dahagakan kejayaan untuk menjulang piala yang berprestij ini, dimana Selangor dengan “Misi 33” yang hanya tinggal selangkah untuk digapai manakala Kedah menginginkan kejuaraan berganda untuk musim ini selepas berjaya memenangi Liga Perdana dan seterusnya layak ke Liga Super tahun hadapan.

Pastinya masing-masing sudah ada ramalan keputusan masing-masing, dan pada pandangan penulis, berkemungkinan pasukan Helang Merah akan terbang melayang bersama Piala Malaysia tahun ini dengan ramalan jaringan 3-1.

Ramalan anda?

 

Assalamualaikum & Salam hujung minggu.

Hari ini adalah hari yang menjadi debaran untuk peminat bola sepak Malaysia, yang mengikuti dengan dekat perjalanan pasukan kesayangan mereka apabila aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berlangsung malam ini.

Di bibir peminat setia Selangor, Kedah, Pahang dan Felda, pasti sentiasa menyebut-menyebut serta membuat ramalan tersendiri untuk perlawanan malam ini. Pasti juga dibincangkan dikalangan peminat percaturan taktikal dan kesebelasan utama yang perlu diturunkan malam ini.

Harus kita akui bahawa di sebalik aksi separuh akhir kedua ini, ada segelintir peminat yang mahukan upset atau keputusan di luar jangkaan ini berlaku malam ini, seperti mana yang berlaku pada peringkat suku akhir dengan kemaraan Felda United yang menundukkan JDT di Larkin. Penulis turut berkongsi sentimen yang sama dan mengharapkan kejutan berlaku, agar menambahkan lagi rencah dan perisa untuk Piala Malaysia kali ini. Mungkin Felda United & Selangor ke final, atau Kedah berjaya menundukkan ego skuad Felda United yang gah dengan rekod cemerlang mereka di tempat lawan.

Ada beberapa perkara yang akan menjadi tumpuan bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia malam ini, iaitu:

  1. Keputusan luar jangkaan pengadil

Ia telah pun berlaku dan sentiasa berlaku, cuma sukar dijangka malam ini apa pula kisahnya. Di Selayang, gol kontroversi PKNS masih disebut-sebut dan natijahnya, kesemua pengadil dan pegawai perlawanan digantung sementara.

2. Percaturan taktikal jurulatih

Mehmet Durakovic menentang Zainal Abidin Hassan, yang kita harus lihat percaturan taktikal yang seperti boleh dijangka terutamanya kepada source of supply daripada Pahang kepada target man yang dikenali sebagai deadly duo in Malaysia menentang pasukan yang kadang kala terlalu bergantung kepada skil individu Andik Vermansyah.

Menarik untuk disaksikan adalah percaturan taktikal antara Kedah & Felda United dimana Irfan Bakti adalah dikenal dengan jurulatih yang penuh tipu muslihat bagi memperdayakan pihak lawan sementara Kedah dilihat pasukan paling konsisten dari sudut serangan namun Kedah harus berwaspada dengan pertahanan yang dilihat kerap juga dibolosi.

3. Pemain ke-12

Ini adalah selalunya menjadi faktor utama iaitu sokongan peminat yang digelar pemain ke-12. Sorakan dan gegak gempita penyokong diharap memberi impak positif kepada Selangor dan Kedah namun kadangkala ia juga boleh memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah dan dijadikan sebagai advantage untuk pasukan lawan yang boleh bermain tanpa tekanan.

Diharapkan kesemua pemain bagi keempat-empat pasukan mempunyai motivasi dan kekuatan mental yang tinggi bagi membawa pasukan mereka beraksi di final Piala Malaysia.

Harus diingat bahawa ini adalah peringkat separuh akhir Piala Malaysia, dan pada pandangan penulis, apa yang perlu disemat dalam minda pemain-pemain malam ini adalah:

TIADA SIAPA YANG INGAT PASUKAN DI SEPARUH AKHIR, MEREKA HANYA INGAT SIAPA DI FINAL. SELEPAS INI JIKA GAGAL HANYA JADI SEJARAH UNTUK DISIMPAN, NAMUN BUKAN SEJARAH YANG INDAH KERANA GAGAL KE FINAL.

P/S: Almost to final? Almost means nothing

 

 

 

Assalamualaikum dan Salam hujung minggu.

Sudah lama penulis tak menulis dengan panjang lebarnya berkenaan bola sepak Malaysia. Banyak isu yang terjadi namun rasanya telah dikupas dengan baik oleh peminat-peminat tegar bola sepak Malaysia. Penulis sudah lama ingin menulis berkenaan topik ini yang sebenarnya perlu diberi tumpuan juga khususnya oleh FAM.

Penulis harus akui dari awal dan mungkin ramai juga yang akan bersetuju bahawa penulis tidak mengenali “top star” pemain bola sepak wanita kita (bukan futsal). Penulis berpandangan bahawa ini adalah kerana kurangnya tumpuan yang tinggi untuk membangunkan bola sepak wanita di Malaysia.

Tidak banyak yang boleh kita ketahui tentang bola sepak wanita di Malaysia, selain daripada kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah yang rasanya menjadi satu-satunya piala yang direbut untuk bola sepak wanita di Malaysia. Selain itu, tiada kejohanan yang besar yang mana jika ada pun mungkin tiada liputan ataupun kewujudan kejohanan tersebut.

Masalah asas ini adalah kerana tidak ada liga yang khusus untuk bola sepak wanita di Malaysia, seperti mana yang kita ada sekarang iaitu Liga Super, Liga Premier, Liga FAM dan Piala Presiden. Pastinya kita sudah tahu kepada siapa patut dipersoalkan tentang hal ini, apabila FAM menerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita seperti belum ada satu rangka kerja yang jelas untuk membangunkan bola sepak wanita. Persoalannya adalah apakah langkah seterusnya selepas kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah?

Tumpuan yang sama perlu diberi penekanan terhadap bola sepak wanita, apatah lagi kita menjadi tuan rumah Sukan Sea 2017 nanti. Mungkin kita belum boleh sampai ke tahap Thailand yang berjaya layak ke Piala Dunia Wanita baru-baru ini atau sehebat Jepun yang juga antara juala Piala Dunia Wanita tetapi sekiranya dikembangkan pencarian bakat pemain bola sepak wanita ini, tidak mustahil ia boleh melangkah jauh, malah mungkin melebihi kejayaan skuad bola sepak lelaki kebangsaan.

Setakat ini satu pujian boleh diberikan kepada program Astro Kem Bola yang mana turut memberi peluang kepada pemain bola sepak muda wanita untuk terpilih menjalani latihan di UK. Namun trasnsisi perjalanan kareer mereka tidak seharusnya terhenti di situ dan itu yang penulis khuatir kerana ke mana hala tuju mereka selepas program tersebut.

Assalamualaikum wbt

Disebalik kemeriahan kancah Piala Malaysia yang baru bermula minggu ini, dan disebalik kejutan-kejutan yang wujud hasil daripada keputusan pertarungan awal semalam, masih ramai yang memperkatakan tentang bola sepak Malaysia, terutamanya skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa. Masih ramai yang memperkatakan berkenaan perubahan radikal ke atas FAM. Masih ramai yang mencemuh kumpulan penyokong Ultras Malaya akibat tindakan mereka di Stadium Shah Alam. Persoalannya, apakah nasib bola sepak Malaysia sekarang, terutamanya persembahan di peringkat antarabangsa.

Bermula daripada episod kekalahan memalukan yang bersejarah, 10-0. Keputusan yang diibaratkan seperti negara yang tiada liga bola sepak, diibaratkan seperti pasukan yang dipenuhi bermain yang bermain bola sepak sebagai hobi di waktu petang. Siapa pun tidak boleh menerima hakikat ini. Kesannya, Dollah Salleh meletak jawatan, satu tindakan penuh bertanggungjawab. Namun, apakah seterusnya untuk skuad kebangsaan? Datuk Ong Kim Swee dipanggil secara mengejut bagi perlawanan menentang Arab Saudi, nyaris membuat kejutan melalui gol Safiq Rahim sebelum penyakit biasa “hilang fokus” menyebabkan Arab Saudi mendahului 2-1 sebelum kekecohan meletus di Stadium Shah Alam oleh kumpulan Ultras Malaya. Namun, disebalik aksi yang agak baik daripada skuad kebangsaan, apa lagi selepas ini?

Ramai orang yang masih bertanya apa punca segala kekecewaan ini. Jawapannya sudah ada, cuma pihak berkenaan harus memahami sendiri apa dan dimana silapnya, dan betulkan kesilapan berkenaan. Adakah kesilapan itu diperbetulkan? Rasanya tidak kerana setelah 31 tahun, bukan 3 tahun dan bukan 1 tahun, bola sepak kita kekal menjunam ke bawah. Kenapakah orang ramai menyalahkan FAM? Mudah. Kerana mereka yang menyelia bola sepak kebangsaan, dibantuk oleh FA negeri. Salah siapa yang gagal kembangkan bakat muda sejak 31 tahun yang lalu? Salah siapa yang biarkan isu rasuah berlambak lambak hingga tak terbendung? Salah siapa skuad kebangsaan kita makin menjunam kedudukan kita di dalam ranking FIFA?

Adakah anda rasa bangga dengan ranking FIFA sekarang? Pastinya tidak. Adakah anda suka melihat skuad kebangsaan diratah menjadi “lauk kegemaran” di aksi antarabangsa? Tidak bukan. Tetapi untuk yang berkuasa di atas, sampai bila boleh ditanggung kelemahan dan kecelaruan serta “kecelakaan & malapetaka” bola sepak kebangsaan ini? Sudah 31 tahun rakyat menunggu hasil pembangunan bola sepak Malaysia, sudah 31 tahun rakyat menunggu mutu yang berkualiti hasil perkembangan bakat pemain daripada perancangan FAM? Dimana semua itu sekarang?

Fikir-fikirkan.

Assalamualaikum wbt

Akhirnya, bola sepak Malaysia kembali dimeriahkan semula selepas berehat sebentar kerana aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dimana aksi Piala Malaysia kembali mencuri tumpuan peminat semua. Malam ini akan menyaksikan hampir kesemua pasukan yang layak akan berentap bagi mencabar dan memberi saingan sengit bagi merebut Piala Malaysia.

Disebalik kontroversi hangat yang menimpa bola sepak kebangsaan ketika ini, kita tidak boleh menafikan bahawa aksi Piala Malaysia adalah antara aksi yang ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak tanah air. Disini lah kita boleh menyaksikan kekuatan pasukan sama ada pasukan gergasi seperti JDT & Pahang serta aksi pasukan Liga Perdana seperti Kedah, PKNS & T-Team mencabar pasukan seperti Perak, Felda United & Terengganu di dalam saingan kumpulan masing-masing.

Tidak dinafikan, kumpulan C mempunyai laluan yang paling sukar di atas kertas yang menghimpunkan pasukan yang mempunyai reputasi gah dan pasukan yang biasa mencipta kejutan iaitu Selangor, Kelantan, Felda United & T-Team. Namun jangan dinafikan saingan di dalam kumpulan yang dilihat mudah seperti JDT, Perak, Sarawak & ATM. Piala Malaysia ini biasa menyaksikan kejutan demi kejutan yang mana bakal memberi lebih rencah & perisa dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Diharapkan saingan Piala Malaysia kali ini memberikan saingan yang lebih sengit berbanding tahun sebelum ini dan ingin menyaksikan lebih banyak kejutan daripada pasukan “underdog” di musim ini.

P/S: T-Team , Pulau Pinang & Kedah sebagai “dark horses” untuk saingan kali ini

Assalamualaikum wbt

Salam kemerdekaan diucapkan kepada semua rakyat Malaysia, dimana kita akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-58 Isnin ini. Dikesempatan ini juga penulis ingin menzahirkan pandangan penulis berkenaan bola sepak kebangsaan untuk edisi merdeka kali ini.

Jujurnya dan harus diakui juga, bahawa tahun ini bukanlah tahun yang menggembirakan dan menceriakan bagi sejarah bola sepak kita, khususnya untuk skuad bola sepak kebangsaan dan skuad bawah 23. Keputusan perlawanan antarabangsa yang mengecewakan di aksi persahabatan dan aksi kelayakan Piala Asia & Piala Dunia serta aksi longlai di peringkat Sukan Sea dan Kejohanan Asia Bawah 22 tahun mencerminkan secara langsung tahap permainan bola sepak skuad-skuad ini tidak ada beza mahupun perubahan. Mungkin kini segelintir pihak sudah putus harapan untuk skuad ini dan hanya keajaiban yang besar sahaja yang mampu menagih kembali sokongan peminat kepada skuad ini. Jangan salah faham kerana sokongan itu sentiasa ada dan diberikan apabila mereka beraksi, namun para pemain seharusnya menggunakan aura & semangat peminat untuk setidaknya memberi aksi yang sengit, bukan aksi yang longlai.

Disaat sinar dilihat semakin malap, muncul sekelumit keceriaan dan sinar harapan untuk skuad bola sepak kebangsaan. Skuad  NFDP menyinar di kejohanan antarabangsa sekali gus menunjukkan harapan bahawa masih ada sebab untuk kita menonton aksi bola sepak pasukan kebangsaan kita. Skuad bawah 19 yang kini berjuang di Laos untuk aksi Kejohanan AFF bawah 19 tahun juga diperhati penuh minat oleh para peminat.

Menerusi tema #sehatisejiwa untuk hari kemerdekaan tahun ini, marilah kita sebaga peminat bola sepak bersatu hati dan terus memberi sokongan kepada skuad muda kita yang seharusnya diberi sokongan dan galakan kerana mereka adalah harapan kita di masa hadapan. FAM perlu komited untuk menjaga skuad ini serta bertindak progresif untuk “menjual” bakat-bakat muda kita ke luar negara dan terus komited untuk membesarkan “talent pool” kita bagi meneruskan kesinambungan pemain-pemain berbakat kita. Bantuan daripada FA Negeri juga amatlah dihargai bagi memberi pendedahan lanjut kepada pemain muda yang berbakat dan jangalah diperam bakat mereka.

Assalamualaikum & Salam sejahtera.

Untuk penulisan kali ini, ianya adalah dari fikiran penulis yang terfikir bahawa apakah sebenarnya yang relevan dalam bola sepak moden ketika ini, iaitu bermain secara berpasukan atau bermain dengan seni dan kreativiti?

Dilihat maksud ini mungkin ada yang berpendapat bila main secara berpasukan, maka boleh juga bermain dengan seni, cantik (sexy football) tetapi ada juga pasukan yang bermain secara sepasukan yang mana mengabaikan nilai seni ini, bermain secara kompak dan hanya menumpukan keputusan untuk menang, walaupun 1-0 dan walaupun menang gol mudah. Manakala jika terlalu menumpukan permainan penuh seni, artistik dan kreatif ini boleh menghasilkan permainan yang menarik tetapi mungkin tidak dapat keputusan yang dimahukan, iaitu tiga mata.

Untuk bercakap soal ini sebenarnya agak sukar untuk dibualkan secara khusus, kerana ianya adalah bergantung kepada skuad dan kekuatan yang ada. Jika ada ramai pemain yang kreatif tetapi kelemahan ketika bertahan pun tidak membantu, menyebabkan pasukan itu tidak seimbang. Jika terlalu defensif pula pasukan anda dilabel sebagai pasukan yang membosankan. Tetapi mana satu yang membosankan anda, pasukan anda menang banyak perlawanan dan menjadi juara atau bermain cantik tetapi tewas.

Isu taktikal juga memainkan peranan dalam situasi ini, sama ada menerapkan elemen bermain bertahan dan serangan balas, atau bermain dengan tekanan tinggi serta kawalan bola yang tinggi. Ini antara dua elemen atau amalan yang kerap digunapakai oleh mana-mana pasukan dan bergantung kepada siapa lawan mereka, walaupun ada pasukan yang enggan mengabaikan asas taktikal yang sudah dibina dan mengekalkan “approach” yang sama tidak kira lawan. Untuk isu ini penulis berpendapat perlu ada lebih dari satu tactical approach mengikut kekuatan skuad yang ada untuk mengelakkan taktikal anda boleh diramal.

Apa pandangan anda, mahu melihat pasukan menang 1-0 atau mahu lihat pasukan anda main cantik dengan keputusan 4-3. Ingat jika dalam liga, gol bolos juga memainkan peranan.

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Ketika artikel ini ditulis, penulis membayangkan bahawa isu ini mungkin tidak sehangat mana namun pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak, sama ada skuad Harimau Muda ini perlu dikekalkan atau dibubarkan. Melihat kepada persembahan skuad Harimau Muda A dibawah coach Razif Ismail & Datuk Ong Kim Swee, mungkin situasi dan nasib pemain-pemain perlu dan jangka hayat ini perlu diberi pertimbangan.

Kita dapat lihat bahawa ketika saingan kejohanan bawah 22 Asia serta Sukan Sea di Singapura, persembahan mereka secara keseluruhan boleh dikatakan mengecewakan. Tiada apa yang boleh dibanggakan, terutamanya ketika aksi kejohanan bawah 22 tahun peringkat Asia dimana persembahan kurang meyakinkan dipamerkan. Bukan membela skuad bimbingan Datuk OKS, namun penulis berpendapat sebenarnya apabila kita sudah menang 2 kali pingat emas di Sukan Sea sebelum ini, kita seharusnya abaikan terus matlamat untuk raih pingat emas di Sukan Sea kerana tiada nilai yang besar jika menang sekalipun dan seharusnya ditumpukan pembangunan untuk kejohanan yang lebih besar seperti kelayakan bawah 22 tahun Asia dan mungkin jika mampu, untuk ke Olimpik.

Biarpun ada pemain yang menyinar namun ia hanyalah segelintir pemain sahaja dan seperti biasa, apabila kita ada 2-3 orang pemain yang berbakat seperti Kumarahan dan lain-lain, mereka seolah-olah diperam tanpa dipromosikan bakat mereka di luar negara. Pada pandangan penulis, apa yang perlu dilakukan kepada pemain-pemain berbakat ini untuk mereka dibawa dan di”jual” ke luar negara.

Manakala pemain lain seharusnya perlu diberikan peluang beraksi secara kompetetif dan kerap dengan pasukan negeri masing-masing. Walaupun mungkin timbul isu kesefahaman ketika mereka berkumpul semula dan beraksi bersama, namun sekiranya mereka biasa beraksi dalam tahap yang kompetetif, perkara itu boleh ditangani dengan baik. Namun langkah ini adalah berisiko kerana terdapat beberapa pemain utama skuad Harimau Muda yang lebih kerap memanaskan bangku simpanan sahaja. Sama ada liga kita benar-benar boleh memberi aksi yang kompetetif untuk pembangunan mereka, sukar dijawab kerana ia adalah perkara yang subjektif, tetapi Liga kita sesuai untuk memberi pendedahan awal untuk aksi kompetetif.

Adakah masih relevan untuk skuad Harimau Muda dikekalkan? Mungkin tetapi pelan asal Harimau Muda ini perlu dirombak secara keseluruhan, termasuk ketidakwajaran untuk mereka bermain di Liga-S. Pandangan penulis, aksi mereka di Slovakia mungkin lebih memberi manfaat berbanding di Liga-S, namun bukanlah aksi persahabatan tetapi aksi perlawanan liga seperti ditempuh oleh skuad OKS yang memenangi emas Sukan Sea tahun 2011.

Assalamualaikum & Salam sejahtera.

Kini masih lagi terdapat suara-suara yang masih mengkritik FAM apabila ranking skuad bola sepak kebangsaan semakin jatuh dan kini berada di tangga 166, sesuatu yang mengecewakan tetapi tidak mengejutkan kerana kita sendiri kekurangan aksi perlawanan persahabatan dengan mana-mana negara selepas tewas 0-6 di tangan Oman.

Ditambah lagi dengan keriuhan isu perlawanan sarkas apabila idea asal adalah untuk skuad bola sepak kebangsaan menentang pasukan BPL Tottenham Hotspurs pada bulan ini. Kedua-dua isu ini melihatkan FAM dihentam teruk kerana dilihat aksi ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada skuad kebangsaan.

Penulis melihat bahawa isu ranking ini sebagai isu yang sebenarnya sudah lapuk namun tetap dibangkitkan juga oleh para peminat. Ini kerana ranking skuad kebangsaan semakin turun, bukannya semakin meningkat. FAM menjadi badan yang dipersalahkan kerana telah membatalkan satu aksi perlawanan persahabatan dengan skuad Filipina yang mana seharusnya menjadi kepentingan utama atas dua sebab, iaitu ia menawarkan mata ranking sekiranya menang dan aksi ini lebih kompetetif kerana Filipina juga pastinya sedang menyiapkan skuad mereka untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia, dimana negara kita juga turut serta dalam perlawanan tersebut.

Penulis senada dengan para peminat lain termasuk menyokong kenyataan daripada TMJ tentang isu perlawanan menentang Tottenham Hotspurs ini dimana seharusnya skuad yang menentang mereka adalah sama ada pilihan terbaik Liga M termasuk pemain import atau skuad pemain import terbaik Liga M dan bukanlah menggunakan kudrat skuad kebangsaan. Sekiranya isu pendedahan diguna pakai, maka adalah lebih wajar FAM mengatur sekurang-kurangnya dua perlawanan persahabatan dengan mana-mana negara Asia untuk mendapat aksi yang lebih kompetetif kerana negara-negara di Asia kebanyakannya sedang menyiapkan pasukan masing-masing untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. Kita harus sedia maklum bahawa berkemungkinan besar skuad  Tottenham Hotspurs ini tidak memberi aksi yang betul-betul kompetetif untuk persediaan skuad kebangsaan atas faktor bahawa  mereka sudah mula untuk musim rehat BPL yang pastinya sudah selesai menyebabkan berkemungkinan ramai pemain muda mereka sahaja yang bakal bermain, dan bukanlah skuad utama.

Namun penulis menyambut baik cadangan FAM untuk skuad kita dianggotai lima orang pemain import namun jurulatih itu tidak seharusnya diberikan kepada Dollah Salleh. Mungkin boleh digunapakai jurulatih lain seperti Irfan Bakti, Mehmet Durakovic atau jurulatih lain manakala Dollah Salleh hanya fokus untuk persiapan skuad kebangsaan sahaja.

P/S: Pilihan 5 import penulis (Mohamadou Sumareh, Robert Corthwhite, Namkum Woong, Paulo Rangel & Andik Vermansyah)